Powered By Blogger

Monday, August 20, 2012

Meniti Usia Emas: meminta simpati atau meraih kasih sayang?


Assalamualaikum dan salam lebaran. Pernahkah anda terserempak dengan seorang warga tua yang sedang melintas jalan ketika pulang dari kerja? Pernahkah anda pernah mengunjungi rumah orang-orang tua?Adakah anda pernah mengunjungi hospital yang dipenuhi dengan warga-warga emas? Pernahkah anda mengambil ibrah (pengajaran) daripada kejadian warga emas itu sendiri?

Secara biologi, tubuh manusia akan berubah pada setiap hari. Umur manusia akan bertambah dan  proses ini dinamakan penuaan. Ia bermula sejak dilahirkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), fasa pertama warga emas bermula daripada 65 tahun hingga 74 tahun. Fasa kedua pula berumur 75 hingga 84 tahun. Fasa terakhir pula berumur 85 tahun ke atas.

Allah berkias mengenai kejadian orang tua yang lemah daripada surah yasin ayat yang ke 68 yang berbunyi:

 “ dan sesiapa yang kami panjangkan umurnya kami kembalikan kepada bentuk yang asal (lemah), mengapa mereka tidak memikirkan?”

Menurut ayat tersebut, Allah telah menetapkan perubahan yang berlaku kepada manusia yang mula meniti ke usia ini. Mereka akan  menjadi lebih sensitif, mudah tersinggung, kesunyian dan mahukan perhatian. Hal ini kerana perubahan hormon yang tertentu didalam tubuh mereka. Perubahan fizikal pula ialah bertambahnya kedutan di kulit, sendi tulang, otot lemah serta sendi menjadi kaku. Penglihatan, pendengaran, deria rasa dan bau semakin berkurangan.

Selain itu, terdapat perubahan fisiologi iaitu rambut beruban, gigi longgar, fungsi buah pinggang atau hati berkurangan, tulang rapuh dan mudah patah atau arthritis dan sakit pinggang berterusan, serta keupayaan seks berkurangan.

Kadang kala mereka bersifat keanak-anakan dan manja. Harus diingat  mereka dikatakan ‘buang tabiat’ kerana ingin meraih kasih sayang dan perhatian anak-anak.

Menurut pemerhatian kami, memelihara dan menjaga golongan ini lebih sukar daripada memelihara seorang anak kecil. Tambahan lagi, jika ingatan dan kemampuan akal untuk berfikir secara waras telah berkurangan, penjagaan khas diperlukan bagi memelihara dan mengurus segala keperluan mereka.

Terdapat beberapa tahap keperihatinan anak khususnya bagi golongan yang telah bekerja terhadap warga emas.
1.     Tidak mahu menjenguk dan mengambil berat kepada mereka.
2.     Hanya menelefon dan bertanya khabar.
3.     sering bertanya khabar,mendoakan, menziarahi dan memberi wang saku.
4.     Bertanya khabar, mendoakan, menziarahi dan mengurus segala kebajikan mereka (makan,minum,tempat tinggal,keselesaan).

Dimanakah kita?
Berapa ramaikah anak yang sanggup membela dan membersihkan najis mereka  sedangkan semasa kita kecil, merekalah yang menguruskan kita. Mampukah kita menyayangi mereka sepenuh hati atau sekadar melepaskan batuk ditangga?
Lawatan pada 26 Ramadhan 1433H. Gambar dari kiri: Pak Yai Kiman,Pn Siam,Nyai Saamah dan Mak Nyai Jenab.Pak Yai Kiman menghidap parkinson,Mak Nyai Saamah alzheimer dan Mak Nyai Jenab mengalami kabur penglihatan

Menurut pendapat Dr Fadzilah Kamsah, anak-anak digalakkan agar kerap pulang menziarahi orang tua kerana dikhuatiri kesibukan kita dengan pekerjaan akan menjerumuskan kita kearah kederhakan kepada mereka. Nau’zubillah. Justeru itu, ambillah peluang sementara mereka masih hidup.

Kesimpulannya, apakah tanggungjawab kita sebagai golongan Y untuk memelihara mereka sebaiknya?apakah kita harus meletakkan mereka di rumah orang tua-tua? Atau sekadar menelefon bertanya khabar? Antara tanggungjawab kita adalah mendoakan, membantu mereka seadanya, memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka. Kita juga akan meniti usia emas jika diberi umur yang panjang oleh Allah, insya Allah kerana antara perkara yang tidak boleh diubati ialah tua dan mati.



“Sayangilah anak-anak kerana itu masa silam kita. Kasihanilah orang tua kerana itulah masa depan kita”.....:)






Nukilan; Nor Atiqah,Uni Malaya Medical centre
dan Muhammad Aiman,Uni of Nottingham

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...